Saturday, July 24, 2010

Jalan Ke Syurga Penuh Ranjau Berduri

Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia.

Syurga ialah tempat kenikmatan dan kebahagiaan di akhirat yang dikurniakan kepada hamba-hamba Allah yang beramal soleh. Neraka pula tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal tholeh (kejahatan).

Untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu mestilah menempuh banyak ujian seperti melaksanakan suruhan Allah dan rasul serta menjauhi laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula dari keimanan kepada Allah. Sudah tentu untuk mengerjakan solat, puasa, haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali bagi mereka yang beriman. Sebab itulah Nabi mengatakan jalan ke syurga penuh dengan kesusahan.

Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.

Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan.

Nah, di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada dan tanyakan iman - bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu.

Betapa tak susah masuk syurga? Dalam satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan perlu banyak berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak saja berjaya sampai ke mercu.

Kebahagiaan di dunia belum menjadi pasport untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi kesalahan jika kekayaan yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan secara Islamik.

Semua manusia inginkan hidup senang. Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat kekal abadi. Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan dunia dan mengenepikan kesenangan akhirat.

Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala. Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawas dari serangan penyakit batin seperti ria, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan. Di sini peranan ilmu tasauf yang perlu kita pelajari dan dalami.

Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. Kalau Allah tak gerakkan kita untuk beramal, kita tak akan beramal. Ini maknanya Allah mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.

Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita? Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali Menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan ke akhirat yang jauh.

Kesimpulannya kita terpaksa mengharung kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah mengampun dan meninggikan darjat kita.
Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat.*
Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.

Ingat sekali lagi pesanan Nabi saw "Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat." Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke neraka. Wallahu 'Alam. .


* Diambil kata dari Allahyarham Muallim Hj Abdul Wahid

Sunday, July 18, 2010

FADHILAT BULAN SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Erti "Syaaban" ialah berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu di gua-gua. Ada pendapat pula mengatakan Syaaban bermaksud pemisah iaitu pemisahan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.

Menurut Yahya bin Mu'adz pula: Sesungguhnya perkataan Syaaban itu terbentuk dari lima huruf, yang mana setiap huruf merupakan singkatan kurnia kepada orang-orang yang beriman. adalah singkatan yang bererti kemuliaan dan pertolongan, singkatan kepada yang bererti keperkasaan dan keutamaan, singkatan kepada ertinya kebaikan, singkatan bagi ertinya rasa kasih sayang dan singkatan bagi yang bererti cahaya.

Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan Syaaban itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa pada bulan ini adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.

Rasulullah S.A.W.. telah bersabda yang maksudnya:
"Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Syaaban?" Maka umatnya menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui".
Baginda bersabda:
"Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Allah S.W.T mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat. Dalam bulan ini, Allah S.W.T banyak memberi rahmat dan kurnia kepada hamba-Nya. Mengenai rahmat Allah itu Rasulullah S.A.W. ada bersabda yang bermaksud, "Allah mengangkat amalan-amalan semua hamba-nya pada bulan ini."
Orang yang membesarkan bulan ini dengan beribadat, akan terpelihara daripada maksiat, taubatnya diterima juga terselamat daripada bencana pada tahun berkenaan. Sabda Rasulullah S.A.W., "Barang siapa membesarkan Syaaban dan bertaqwa kepada Allah S.W.T serta taat dan juga menahan diri daripada maksiat, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkan dia daripada segala bencana yang berlaku pada tahun itu, juga daripada sakit-sakit."

Kasih dan ketaatan orang yang beribadat pada tahun itu terhadap Allah akan kekal. Sabda Rasulullah S.A.W., "Barangsiapa menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban. Maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu."

Dalam pada itu bagi mendapat keberkatan Syaaban, adalah dituntut menunaikan sembahyang sunat dua rakaat pada malam Nisfu Syaaban iaitu malam yang ke-15 pada bulan Syaaban. Sembahyang sunat ini dilakukan selepas menunaikan solat fardhu Maghrib dan selepas sembahyang sunat Ba'diyah dengan membaca surah "Qul yayyuhal Kafirun.." pada rakaat pertama dan surah "Qul huwallahu ahad.." pada rakaat terakhir. Selepas selesai sembahyang sunat Nisfu Syaaban disunatkan juga membaca surah Yaasin dan memohon doa dilanjutkan usia, kekuatan untuk beribadat serta memohon ketetapan iman.

Keutamaan Bulan Syaaban
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah R.A., beliau telah berkata yang maksudnya:
"Adalah Rasulullah S.A.W.. sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan.
Selain dari itu, Rasulullah S.A.W. pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya:
"Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."

hanya kepada Mu aku berserah...

TARIKH PENTING DALAM ISLAM

1. Muharram (29 hari)

1 Muharram - Awal hijrah
10 Muharram - Hari Asyura
Hari kematian saidina Hussain bin Ali cucu Rasulullah s.a.w.

2. Safar (29 hari)

3. Rabi'ul Awwal (29 hari)

1 Rabi'ul awwal – Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul
2,3&4 Rabi'ul awwal – Rasulullah bersembunyi di gua Hira'
8 Rabi'ul awwal – Pembinaan masjid quba'(masjid pertama dalam sejarah islam)
12 Rabi'ul awwal – Hari keputeraan Baginda Rasul.
12 Rabi'ul awwal – Hari kewafatan Baginda Rasul.

4. Rabi'ul Akhir (30 hari)

Berlaku perang Jamal, perang saudara pertama dalam Islam

5. Jamadil Awal (29 hari)

8 Jamadil awal – Hari kelahiran Saidina Ali bin Abi Talib

6. Jamadil Akhir (30 hari)

8 Jamadil akhir – Saidina Umar di lantik menjadi khalifah kedua.
20 Jamadil akhir – Tarikh kelahiran Siti Fatimah.
28 Jamadil akhir – Wafatnya Saidina Abu Bakar

7. Rejab (30 hari)

26-27 Rejab – Israk Mikraj

8. Sya'ban (30 hari)

14 Sya’ban – Malam Nisfu Sya’ban
15 Sya’ban – Pertukaran Kiblat dari Masjid Al-aqsa ke Kaabah Masjidul Haram

9. Ramadhan (29/30 hari)

8 Ramadhan Tahun 2 – Perang Badar
10 Ramadhan Tahun Ke 10 – Pembukaan Makkah
17 Ramadhan – Ayat Quran pertama turun di Gua Hira’
17 Ramadhan tahun ke 40 – Pembunuhan Saidina Ali di Kufah

10. Syawal (29 hari)

1 Syawal – Hari Raya Aidil Fitri
5 Syawal Tahun Ke 5 – Perang Uhud

11. Zulkaedah (30 hari)

Berlakunya Haji Wida’ Rasulullah bersama 100,000 orang rombongan


12. Zulhijjah (30 hari)

8 Zulhijjah – Hari Wida’ Nabi yang terakhir
Akhir Zulhijjah 23H – Saidina Omar mati dibunuh
18 Zulhijjah 23H – Saidina Othman mati dibunuh
27 Zulhijjah 132H – Jatuhnya kerajaan Bani Umaiyyah.


Di dalam Islam kita pun ada tarikh yang amat penting dari kita mengingati tarikh Valetine Day , April Fool dan lain-lain lagi . Ingat kisah diatas dari afdhal InsyaAllah kita akan dapat berkat dari Allahswt.Renungilah

Friday, July 16, 2010

PERANG JAMAL (PERANG UNTA)

Perang Jamal atau Perang Unta berlaku pada 11 Jamadilakhir 36H atau Disember 657M yang mengambil masa tidak sampai sehari. Kemenangan berpihak kepada Khalifah Ali. Peperangan tersebut berlaku Ali menggantikan semua pegawai kerajaan yang merupakan keluarga Uthman bin Affan iaitu Bani Umaiyyah kepada mereka yang cekap dan adil. Ali yang dikenal dengan keadilannya juga mencabut undang-undang yang diskriminatif dan memutuskan untuk membatalkan segala konsesi yang sebelumnya diberikan kepada orang-orang Muhajirin dan menyamaratakan hak umat atas kekayaan baitul mal. Disamping itu, pihak keluarga Bani Umaiyyah menggunakan alasan kemangkatan Khalifah Uthman sebagai alasan untuk menentang pemerintahan Ali.

Hal tersebut mendapat tentangan dari orang yang selama bertahun-tahun menikmati keistimewaan yang dibuat oleh khalifah sebelumnya. Ketidakpuasan itu kian meningkat sampai akhirnya mendorong sekelompok orang untuk menyusun kekuatan untuk melawan beliau. Thalhah, Zubair dan Aisyah berhasil mngumpulkan pasukan yang cukup besar di Basrah untuk bertempur melawan khalifah Ali bin Abi Thalib.

Mendengar adanya pemberontakan itu, Ali turut mengerahkan pasukannya. Kedua pasukan saling berhadapan. Ali terus berusaha membujuk Thalhah dan Zubair agar mengurungkan rencana berperang. Beliau mengingatkan keduanya akan hari-hari manis saat bersama Rasulullah S.A.W dan berperang melawan pasukan kafir.

Walaupun ada riwayat yang menyebutkan bahawa imbauan Ali itu tidak berhasil menyedarkan kedua sahabat Nabi itu, tetapi sebahagian sejarawan menceritakan bahawa ketika Thalhah dan Zubair mendengar teguran Ali, bergegas meninggalkan medan perang.

Perang tak dapat dihindarkan. Ribuan nyawa melayang sia-sia, hanya kerana ketidakpuasan hati sebahagian orang terhadap keadilan yang ditegakkan oleh Ali. Pasukan Ali berhasil mengalahkan pasukan yang dikepalai Aisyah, yang ketika itu menunggang unta. Perang Jamal atau Perang Unta berakhir setelah unta yang dinaiki oleh Aisyah tertusuk tombak dan jatuh terkapar.

Sebagai khalifah yang bijak, Ali memaafkan mereka yang sebelum ini menghunus pedang untuk memeranginya. Aisyah juga dikirim kembali ke Madinah dengan dikawal oleh sepasukan wanita bersenjata lengkap. Fitnah pertama yang terjadi pada masa kekhalifahan Ali berjaya dipadamkan. Namun masih ada kelompok-kelompok lain yang menghunus pedang melawan Ali yang oleh Rasulullah SAW disebut sebagai poros kebenaran.

PERANG SIFFIN



Perang Siffin (Mei-Julai 657) berlaku semasa zaman fitnah besar atau perang saudara pertama orang Islam dengan pertempuran utama berlaku dari 26-28 Julai. Pertempuran ini berlaku di antara Muawiyah bin Abu Sufyan dan Saidina Ali bin Abi Talib di tebing Sungai Furat yang kini terletak di Syria (Syam). Berikutan pembunuhan Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali menjadi khalifah. Muawiyah, seorang gabenor Syria, merupakan saudara kepada Saidina Uthman dan mahukan pembunuh Uthman diadili. Dia menganggap Ali tidak bersungguh-sungguh mahu menghukum pembunuh Uthman lalu memberontak ke atas Ali. Akibatnya terjadi pertempuran di Siffin. Pertempuran ini tidak berkesudahan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding. Pertempuran dan perundingan melemahkan kedudukan Ali dan pada masa yang sama tidak menyelesaikan konflik yang melanda empayar Islam. Kepada penganut Syiah, Ali ibnu Abi Talib merupakan Imam yang pertama. Kepada Sunni, Ali merupakan Khalifah Ar-Rashidun yang keempat dan Muawiyah sebagai khalifah pertama Dinasti Umayyah. Peristiwa yang berlaku semasa perang sehingga kini menjadi kontroversi di antara kedua-dua Sunni dan Syiah yang juga memisahkan kedua-dua mazhab ini.


Mula pertelingkahan

Setelah mengalahkan Saidatina Aisha dalam Perang Jamal, Ali kembali ke Kufah pada bulan Januari 657. Beliau mengambil keputusan untuk memindahkan ibu negeri dari Madinah ke Kufah kerana kedudukannya yang lebih strategik di dalam empayar, dan menghalang kemaraan Muawiyah ke Iraq. Untuk menyelesaikan perbalahan secara aman, Ali menghantar utusan kepada Muawiyah di Syria meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Ali mengambil tindakan ke atas pembunuh Uthman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan.

Mendengar jawapan yang sedemikian, Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syria. Beliau pada mulanya merancang menyerang Syria dari arah utara tetapi mengubah dengan mara terus melalui padang pasir Mesopotamia. Ketika sampai ke Riqqa yang berada di tebing Sungai Furat, mereka bertemu dengan barisan hadapan tentera Muawiyah tetapi mereka berundur tanpa berlaku sebarang pertempuran. Penduduk Riqqa tidak mesra dengan pasukan Ali dan tenteranya yang menghadapi kesukaran menyeberang sungai. Akhirnya setelah berjaya menyeberangi sungai, tentera Ali terus mara sepanjang tebing Sungai Furat sehinggalah mereka bertemu dengan kubu kecil tentera Syria di Sur al-Rum di mana berlaku pertempuran kecil. Pertempuran ini tidak melengahkan pergerakan tentera Ali yang akhirnya bertemu dengan tentera Muawiyah di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.


Pertempuran utama

Ali membuat tuntutan terakhir kepada tentera Muawiyah supaya menyerah dan mengiktiraf beliau sebagai khalifah tetapi mereka menolak. Akibatnya pada 8 Safar 36 (26 Julai 657), Ali mengarahkan serangan dilakukan dan bermulalah Perang Siffin. Perang berlangsung sepanjang hari sehingga ke malam. Perang yang berlanjutan berterusan pada hari keesokannya. Walaupun berusia (Ali pada masa itu berumur 58 tahun), Ali memimpin pasukannya yang terdiri daripada pasukan dari Madinah di bahagian tengah dan pasukan dari Basrah dah Kufah di bahagian kiri dan kanan. Muawiyah melihat pertempuran dengan dikelilingi oleh pengawal peribadinya. Amru Al-Ash mengetuai pasukan berkuda menyerang pasukan Kufah dengan jaya dan hampir-hampir membunuh Ali. Tetapi keberanian Ali menaikkan semangat tenteranya dan serangan berjaya dihalang. Di pihak pasukan Basrah pula ialah al-Ashtar dan 300 qari yang mengetuai serangan ke atas tentera Muawiyah. Serangan mereka berjaya sehingga hampir menyebabkan Muawiyah berundur dari medan pertempuran.

Pertempuran berterusan kepada hari ketiga sementara jumlah korban meningkat termasuk Hashim ibn Utba dan Ammar ibn Yasir, kedua-duanya sahabat Nabi. Kedua-dua kumpulan pada masa itu sudah kehabisan senjata dan pertempuran dilakukan dengan berlawan menggunakan tangan. Kedua-dua Ali dan Muawiyah tidak gembira dengan kehilangan yang besar di kedua-dua belah pihak, tetapi Muawiyah dapat merasakan dia akan kalah.

Amru Al-Ash akhirnya mencadangkan agar digunakan al-Quran untuk melakukan perundingan. Muawiyah menerima cadangan ini dan mengarahkan orang-orangnya meletakkan 500 buah Quran di hujung tombak dan menjerit, "Undang-undang Tuhan! Ini akan memutuskan di antara kita!" Dengan ini ia bermaksud kedua-dua pihak hendaklah berhenti bertempur dan menyelesaikan pertelingkahan dengan perundingan aman di bawah tatatertib Islam. Muawiyah dan Amr tidak berfikir Ali akan menerima tawaran ini tetapi mereka yakin ada di kalangan penyokong Ali yang akan menerima tawaran perundingan ini dan ini akan menyebabkan berlaku ketidak puasan hati di kalangan pasukan Ali.

Helah ini menyebabkan tentera Ali berhenti bertempur. Ali bagaimanapun menyeru tenteranya terus berjuang dengan mengatakan Muawiyah melakukan helah ketika hampir kalah tetapi mereka tidak mahu mendengar. Ali dan al-Ashtar menghabiskan banyak masa berdebat dengan orang mereka tetapi tidak dapat mengubah fikiran mereka semua. Mereka malah menjadi tidak sabar dan menyerang al-Ashtar dengan cemati dan memanggilnya penghasut yang suka peperangan; mereka malah mengancam untuk menghantar Ali kepada Muawiyah sebagai banduan jika beliau tidak menerima perundingan tersebut. Dengan keadaan tersebut Ali tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menerima perundingan.


Perundingan

Proses rundingan berlangsung di mana pihak Ali diwakili oleh Abu Musa Al-Asya'ari dan Amr al-Aas bagi pihak Muawiyah. Abu Musa Al-Asya'ari dikatakan bukan pilihan pertama Ali yang mahu melantik Abdullah bin Abbas atau Al-Ashtar sebagai wakil. Akan tetapi Abu Musa digemari oleh ramai orang kerana dia seorang yang mahukan perdamaian. Abu Musa dikatakan tidak dapat menyaingi kepintaran Amru al-Aas. Ali pulang ke Kufah sementara Muawiyah ke Damsyik sementara menanti perundingan yang akan diadakan dalam beberapa bulan. Muawiyah terus memerintah Syria dan Ali pula bagi baki Empayar Islam.

Perundingan dijalankan pada bulan Ramadan 37 (Februari 658). Pengadil untuk perundingan tiba di Dumat-al-Jondel. Ramai di kalangan ketua kaum dari Mekah, Madinah, Iraq dan Syria juga datang untuk menyaksikan perundingan yang akan memutuskan nasib Islam.

Abu Musa ditemani Abdallah bin Abbas yang menasihatinya berwaspada akan helah Amr. Setibanya Abu Musa di Duma, Amr menyambutnya dengan penuh hormat. Mereka berdua berbincang tanpa kehadiran orang lain. Amr tahu akan kelemahan Abu Musa dan melayannya dengan penuh hormat dan cuba mempengaruhinya sehingga Abu Musa mengaku Uthman dibunuh dengan kejam. Amr kemudian bertanya kepada Abu Musa kenapa Muawiyah yang mahu menuntut bela dan saudara kepada Uthman serta mempunyai kebolehan memerintah tidak boleh dilantik sebagai pengganti. Abu Musa menjawab pengganti tidak boleh ditentukan berdasarkan itu sahaja tetapi mengambil kira supaya tidak berlaku pemberontakan dan perang saudara. Amr seterusnya mengajak Abu Musa untuk menolak kedua-dua Ali dan Muawiyah dan membiarkan orang mukmin memilih khalifah. Ini merupakan penyelesaian yang paling mudah dan selamat. Abu Musa bersetuju dan mereka bersedia untuk membuat pengumuman. Satu tribunal didirikan daripada kalangan pengadil yang akan mengisytiharkan keputusan kepada umum.

Abu Musa berharap Amr membuat pengumuman dahulu tetapi Amr memberi laluan kepada Abu Musa atas alasan memberi hormat kepada orang Ali. Abu Musa naik dan bercakap kepada orang awam mengatakan mereka berdua bersetuju tiada jalan lain untuk keamanan selain daripada kedua-dua Ali dan Muawiyah turun dan membiarkan orang mukmin melantik khalifah yang mereka pilih. Setibanya giliran Amr membuat pengumuman, dia bertindak sebaliknya dengan mengiktiraf Muawiyah sebagai pemimpin dan sebagai tuntutan bela ka atas kematian Uthman.


Kesan

Hasil perundingan dilihat lebih menguntungkan Muawiyah. Perjanjian damai yang Ali tidak menandatanganinya, tidak mengiktiraf Ali sebagai khalifah tetapi hanya meletakkan Ali dan Muawiyah sama taraf sebagai pejuang dalam perang. Perundingan juga dibuat beberapa bulan selepas perang dan jika perundingan dibuat serta merta, Ali mungkin akan meneruskan kembali pertempuran jika beliau tidak puas hati dengan hasil perundingan.

Sementara itu pengikut Ali berpecah. Sekumpulan tentera berjumlah 12,000 orang berpecah daripada tentera utama dan mereka berkhemah di sebuah kampung berdekatan bernama Harura. Mereka tidak bersetuju dengan perundingan tersebut dan melihatnya tidak mengikut cara Islam. Mereka menganggap dunia Islam bukan hak peribadi Ali untuk berunding dengan Muawiyah. Tujuan mereka menjatuhkan Uthman dulu untuk mendirikan kerajaan yang betul-betul Islam. Ali pada mulanya berjaya memujuk tentera ini menyertai semula pasukannya tetapi hanya sementara. Tentera ini akhirnya menjadi teras kepada golongan Khawarij.

Dengan tiada keputusan jelas dicapai, situasi sedia ada berterusan. Muawiyah memerintah Syria dan Mesir sementara Ali selebihnya. Kedua-dua pihak bermusuhan sesama sendiri dan keadaan ini berterusan sehingga Ali dibunuh oleh golongan Khawarij pada tahun 661. Dunia Islam kemudian disatukan semula di bawah Muawiyah sebagai khalifah.